Beliau berkata gaji minimum itu akan 
meliputi pekerja dalam semua sektor ekonomi di seluruh negara, kecuali 
perkhidmatan domestik, yakni pembantu rumah, tukang kebun dan 
sebagainya. Tarikh mula kuat kuasa pelaksanaan gaji minimum ialah enam 
bulan daripada tarikh Perintah Gaji Minimum diwartakan.
Pengumuman kadar gaji minimum sempena 
sambutan Hari Pekerja yang akan disambut esok dan sebagai hadiah 
istimewa daripada kerajaan persekutuan kepada seluruh warga pekerja. 
Kerajaan turut menyediakan mekanisme pelaksanaan supaya penetapan gaji 
minimum itu tidak membebankan majikan dan tidak merugikan para pekerja 
dengan membenarkan penyerapan sebahagian elaun atau bayaran tunai tetap 
dalam perkiraan gaji minimum.
Bagaimanapun, katanya untuk memberi 
ruang dan peluang kepada majikan kecil membuat persediaan, tempoh kuat 
kuasa bagi kategori itu ialah 12 bulan daripada tarikh Perintah Gaji 
Minimum diwartakan. Perdana Menteri berkata pengecualian 12 bulan itu 
tidak meliputi kepada firma profesional seperti klinik-klinik pergigian 
dan perubatan; firma guaman; firma arkitek; firma juru perunding dan 
sebagainya; walaupun mereka mempunyai bilangan pekerja lima atau kurang;
 mereka perlu mematuhi gaji minimum ini dalam masa enam bulan.
Beliau  turut menegaskan pemberian 
tempoh masa yang mencukupi ini adalah supaya majikan dapat membuat 
persediaan secukupnya bagi menstrukturkan semula gaji pekerja dan 
operasi perniagaan masing-masing. Oleh itu kerajaan juga menyediakan 
mekanisme pelaksanaan yang fleksibel supaya majikan yang benar-benar 
tidak dapat melaksanakan gaji minimum boleh memohon pelanjutan tempoh 
peralihan.
Kerajaan menyedari dan amat prihatin 
terhadap tuntutan para pekerja supaya gaji minimum ditetapkan pada 
RM1,200 hingga RM1,500. Namun untuk permulaan, katanya sebagaimana syor 
Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) dan kajian Bank Dunia, gaji 
minimum tidak boleh ditetapkan terlalu tinggi. Perdana Menteri 
memaklumkan sekiranya gaji minimum ditetapkan melebihi tahap RM900 
(yakni gaji pokok) kesannya dijangka menjejaskan ekonomi, pasaran buruh 
dan kemasukan pelaburan asing.
Perbezaan Gaji Minimum Antara Semenanjung dan Sabah/ Sarawak?
Najib berkata kerajaan juga sedar, 
bahawa menetapkan kadar gaji minimum yang berbeza antara Semenanjung 
dengan Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan akan mendedahkan 
kepada tohmahan bahawa Kerajaan Persekutuan menganaktirikan pekerja di 
negeri dan wilayah tersebut.
Jelas beliau, perbezaan gaji antara dua 
wilayah ini terpaksa dilakukan kerana perbezaan struktur upah dan kos 
sara hidup yang ketara. Namun begitu, beliau berkata untuk tempoh dua 
atau tiga tahun akan datang, kerajaan berharap kadar gaji minimum bagi 
negeri-negeri tersebut dapat diselaraskan dengan kadar gaji minimum di 
Semenanjung Malaysia. Kadar gaji minimum yang ditetapkan tersebut tidak 
akan kekal statik, ia akan dikaji semula dari semasa ke semasa sejajar 
dengan kemampuan, produktiviti dan daya saing negara, jelas beliau.
No comments:
Post a Comment